Rangkaian Komputer

Teknologi Maklumat telah berperanan sebagai asas untuk menyimpan maklumat, mengolah maklumat, menyalur dan mengedarkan maklumat di dalam pelbagai bentuk dan cara. Bahan atau maklumat tersebut dapat disalurgunakan sama ada di dalam bentuk teks, gambar, grafik, suara, animasi, dan video, atau gabungan kesemua unsur secara interaktif yang juga dikenali sebagai Multimedia. Semua bahan dapat disalurgunakan dengan menggunakan teknologi terkini, sama ada dengan rangkaian (networking), intranet dan internet.
Proses pengajaran-pembelajaran dapat dipertingkatkan mutunya dan dipelbagaikan penyampaian dan penerimaannya melalui beberapa teknik iaitu:
1. berbantukan komputer dan perisian
2. melalui sistem rangkaian (networking), perisian dan pangkalan data atau maklumat atau
3. melalui sistem internet, perisian dan pangkalan data.

Melalui maklumat yang diperolehi di atas, bolehlah kita simpulkan bahawa Sistem Rangkaian Komputer (Networking) turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya di dalam era teknologi maklumat terkini. Sistem rangkaian komputer merupakan sistem komputer yang berpaut bersama dengan terminal dan peralatan persisian yang lain melalui talian komunikasi. Rangkaian membenarkan pengguna yang berada pada kedudukan taburan geografi yang pelbagai untuk berkongsi aturcara, data dan peralatan. Teknologi rangkaian komputer ini yang pada awalnya hanya digunakan di kalangan masyarakat teknologi serta mereka yang gemar mencuba teknologi yang baru, tetapi kini menjadi antara teknologi yang mendapat penerimaan luas di kalangan masyarakat.
Tidak keterlaluan jika kita mengatakan teknologi rangkaian sebenarnya membuka suatu dimensi baru di dalam pengunaan komputer peribadi. Pengguna yang baru mengenali teknologi rangkaian seringkali tertanya-tanya mengenai kelainan dan ciri perbezaan yang dibawa oleh teknologi rangkaian kepada dunia perkomputeran. Sebelum teknologi rangkaian diperkenalkan serta digunakan secara meluas, kebanyakan komputer peribadi lebih berfungsi sebagai sebuah komputer tunggal. Pertamanya, ia tidak dirangkaikan iaitu disambungkan dengan mana-mana komputer yang lain. Oleh yang demikian, komputer tersebut hanya berupaya menggunakan sumber yang disediakan serta terdapat pada komputer tersebut sahaja. Dalam erti kata lain, pengguna tersebut hanya dapat menggunakan perisian serta perkakasan yang terdapat serta disambungkan kepada komputer tersebut sahaja.
Sebelum wujudnya Sistem Rangkaian Komputer, pengguna yang ingin berkongsi perisian ataupun fail di dalam persekitaran komputer tunggal terpaksa menggunakan media storan yang boleh dialihkan seperti disket. Namun begitu, kehadiran teknologi rangkaian komputer membolehkan apa yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil menjadi kenyataan yang menguntungkan, menyeronokkan dan merealisasikan impian ramai pengguna.

TAKRIF
Sistem Rangkaian (Networking) boleh ditakrifkan sebagai lebih daripada satu hardware yang terdapat di dalam Teknologi Maklumat dipisahkan secara fizikal kedudukannya tetapi disambung atau dirangkaikan dari segi operasinya. Ini bererti, Sistem Rangkaian Komputer (Computer Networking) merupakan satu sistem komputer yang mengandungi dua atau lebih komputer yang dihubungkan di antara satu sama lain melalui sistem pengoperasian yang selaras walaupun komputer-komputer tersebut berada di tempat-tempat yang berbeza.

MANFAAT RANGKAIAN

Wujudnya Sistem Rangkaian Komputer telah memberikan beberapa manfaat yang besar kepada penguna-penggunanya. Melalui rangkaian ini, pengguna boleh berkongsi menggunakan perisian serta fail. Perkongsian , penyalinan serta penghantaran perisian serta fail dapat dilaksnakan secara talian. Ini bermakna pengguna tidak perlu menghabiskan sumber kewangan yang besar untuk membelikan perisian untuk setiap unit komputer mereka. Pengguna hanya perlu membeli sebuah perisian versi rangkaian contohnya LAN Version sudah memadai untuk semua komputer yang terdapat di dalam rangkaian tersebut menggunakannya.
Pengguna juga boleh berkongsi data atau perisian pada masa yang serentak contohnya tiga orang pekerja di dalam suatu jabatan, bekerja dengan menggunakan hamparan helaian yang sama. Keupayaan ini khususnya berguna di dalam kes pangkalan data, yang perlu dicapai dan ditukar oleh beberapa orang di dalam satu organisasi.
Selain daripada itu ialah kemampuan para pengguna rangkaian berhubung serta berkomunikasi di antara satu sama lain. Pengguna juga boleh bertukar-tukar mesej atau pesanan melalui komputer melalui proses yang dikenali sebagai mel eletronik serta perisian “chat” di dalam persekitaran rangkaian turut membolehkan sesebuah pejabat serta tempat kerja berkomunikasi serta berhubung di antara satu sama lain. Malah, penghantaran memo serta dokumen di dalam sesebuah syarikat yang kelazimannya merupakan budaya serta kaedah kerja di dalam sesebuah pejabat atau syarikat sudah menjadi tidak relevan serta berguna lagi.
Sistem Rangkaian Komputer turut membenarkan beberapa komputer berkongsi perkakasan yang sama contohnya mesin pencetak, pengimbas, CD ROM dan kelengkapan faks yang mahal. Contohnya, sebuah pejabat yang mempunyai dua puluh buah komputer, tidak perlu mendapatkan dua puluh buah mesin pencetak untuk membolehkan mereka melakukan tugas cetakan mereka. Sebuah mesin pencetak yang disambungkan kepada mana-mana komputer peribadi di dalam rangkaian tersebut akan dapat dikongsi bersama oleh komputer-komputer peribadi di dalam sitem rangkaian tersebut.
Konsep rangkaian juga tidak terhad kepada satu-satu lokasi atau perniagaan sahaja. Internet sebagai contoh, satu daripada beberapa rangkaian yang ada, berupaya menghubungkan pengguna komputer dari merata pelusuk dunia. Pengguna boleh menjalankan atur cara komputer dari benua lain dan boleh mencipta “halaman rerumah” (homepage) supaya berjuta-juta orang yang tidak dikenali boleh membacanya.
Internet juga membolehkan pelajar-pelajar khasnya serta pengguna-pengguna amnya mencari pelbagai variasi maklumat yang mereka inginkan mengenai apa-apa sahaja dari mana-mana sudut dunia dengan hanya melayari dunia internet. Satu kelebihan lagi ialah segala maklumat yang mereka inginkan itu akan mereka dapati di dalam jangkamasa yang singkat sahaja.

JENIS-JENIS RANGKAIAN
Jenis-jenis rangkaian sebenarnya ditakrifkan mengikut lingkungan geografi sesuatu rangkaian itu. Selain daripada itu, perbezaan di antara skema rangkaian-rangkaian tersebut turut melibatkan jarak dan orientasi. Biasanya, ia berorientasikan kerangka pusat dan menggunakan talian telefon atau bergantung kepada geganti gelombang mikro untuk menghantar data. Terdapat tiga jenis rangkaian komputer yang asas iaitu:
1. Rangkaian Kawasan Setempat (Local Area Network - LAN)
2. Rangkaian Kawasan Metropolitan (Metropolitan Area Network - MAN)
3. Rangkaian Kawasan Luas (Wide Area Network - WAN)

RANGKAIAN KAWASAN SETEMPAT (LAN)
Rangkaian jenis LAN ini biasanya terhad kepada batasan geografi yang kecil misalnya rangkaian yang meliputi sesebuah bangunan, sekolah, pejabat atau kampus. Fungsi asas LAN sebagai satu rangkaian yang menghubungkan sebilangan komputer di dalam kawasan yang terhad seperti di dalam kampus universiti, di dalam sesebuah bangunan dan di dalam bilik serta kerapkali dihubungkan dengan komputer kerangka utama atau minikomputer. Namun begitu, jarang sekali rangkaian LAN meliputi kawasan yang lebih daripada satu batu jaraknya.Komputer-komputer ini dapat dihubungkan dengan pelbagai kaedah seperti kabel pasangan terpiuh atau berpintal, gentian optik, talian telefon dan cahaya inframerah serta isyarat radio.
Setiap topologi perlu melaksanakan kerja yang sama. Situasi yang paling biasa ditemui oleh rangkaian ialah mesej dari satu komputer ke satu komputer yang lain atau arahan supaya menjalankan atur cara yang tersimpan di dalam rangkaian. Data atau atur cara yang diminta oleh mesej mungkin disimpan pada komputer yang digunakan oleh seseorang rakan sekerja dalam rangkaian atau pada pelayan fail (server), suatu komputer khusus. Pelayan fail biasanya adalah merupakan komputer berkuasa tinggi dan mempunyai pemacu cakera keras yang tidak digunakan secara eksklusif oleh individu pada rangkaian itu serta cakera padat (CD drive). Pelayan fail juga seharusnya mempunyai storan semua perisian yang mengawal pengurusan sesuatu sistem rangkaian itu.
Selain daripada itu, pelayan fail wujud hanya untuk melayan semua komputer yang berada di dalam sistem rangkaian tersebut. Komputer-komputer yang disambung kepada pelayan fail dikenali sebagai stesen kerja (workstations). Stesen kerja tidak semestinya berkuasa tinggi seperti pelayan komputer namun begitu, komputer-komputer tersebut boleh mempunyai perisian tambahan pada cakera keras masing-masing. Manakala, setiap satu komputer yang menggunakan khidmat pelayan fail dikenali sebagai pelanggan (client). Pencetak boleh juga disambung kepada rangkaian supaya ia boleh dicapai oleh semua pelanggan LAN.
Untuk menggunakannya, rangkaian mestilah menerima permintaan daripada komputer individu atau nod yang dihubungkan pada rangkaian dan ia mestilah mempunyai cara untuk mengendalikan permintaan serentak bagi perkhidmatannya. Sebaik sahaja komputer mendapat perkhidmatan rangkaian, ia haruslah mempunyai cara untuk menghantar mesej dari satu komputer kepada komputer yang lain supaya ia hanya menuju kepada nod yang diperlukan dan tidak muncul di komputer yang lain.
Rangkaian pula mestilah melakukan semua ini secepat mungkin sambil memberi perkhidmatannya secara serata mungkin mengikut giliran di antara nod lain di dalam LAN.

Terdapat tiga jenis rangkaian topologi yang biasa digunakan di dalam tatarajah LAN bagi rangkaian pelanyan-pelanggan. Rangkaian-rangkaian tersebut ialah:
1. Topologi Bas atau Linear Bas (Bus or Linear Bus)
2. Topologi Bintang (Star) atau Labah-labah (Spider)
3. Topologi Gelang Token (Token Ring)

RANGKAIAN KAWASAN METROPOLITAN (MAN)
Rangkaian Kawasan Metropolitan (Metropolitan Area Network-MAN) lazimnya meliputi suatu kawasan geografi yang agak luas berbanding dengan rangkaian yang diliputi oleh LAN. Rangkaian MAN biasanya beroperasi di bandar-bandar, gabungan beberapa buah sekolah ataupun di sesebuah daerah. Dengan menjalankan suatu rangkaian perhubungan yang sederhana besarnya di dalam lingkungan susun atur geografi yang besar, informasi dan maklumat dapat disebarkan dengan meluas, cepat dan berkesan.
Perpustakaan-perpustakaan awam dan agensi-agensi kerajaan biasanya gemar menggunakan MAN untuk berhubung dengan warga setempat dan pihak pengurusan sektor swasta. Satu contoh penggunaan MAN ialah di Pasco County yang terletak di Florida, Amerika Syarikat. Rangkaian MAN di sini dikenali sebagai ‘the MIND Network’ yang mana rangkaian tersebut berfungsi menghubungkan semua pusat media Pasco kepada komputer kerangka utama berpusat (centralized mainframe) yang terletak di pejabat daerah dengan menggunakan talian telefon, kabel koaksial, alat perhubungan tanpa tali (wireless communications providers).
Di dalam bidang perniagaan contohnya, satu komputer peribadi menghantar data kepada satu minikomputer atau kerangka utama. Oleh kerana, komputer-komputer yang lebih besar atau berkuasa tinggi sememangnya direka sebagai pelayan (server), ia berfungsi membenarkan mana-mana laluan masuk sesebuah terminal, sesebuah komputer peribadi itu boleh berkomunikasi dengan sebuah minikomputer atau kerangka utama.
Ini akan hanya berlaku jika komputer peribadi tersebut boleh bersaing atau menyerupai sebuah terminal. Oleh yang demikian, rangkaian ini akan berjaya apabila komputer peribadi itu dilengkapkan dengan terminal emulation software. Komputer yang lebih besar itu kemudiannya mengtanggapi komputer peribadi atau stesen kerja itu sebagai satu pengguna lain di dalam rangkaian perantaraan komunikasi input-output.
Apabila komputer yang lebih kecil disambungkan ke komputer ke komputer yang lebih besar, perhubungannya dirujuk sebagai perhubungan mikro-ke-kerangka utama. Komputer besar di mana terminal atau komputer peribadi disambungkan dikenali sebagai komputer hos. Jika sebuah komputer peribadi itu digunakan sebagai terminal, perisian memindahkan fail (file transfer software) membenarkan pengguna untuk memindahkan fail (download) dari hos ataupun menghantar data ke hos (upload). Download file bererti membuka dan mengambil data dari sebuah komputer peribadi yang lain dan menghantar data ke komputer yang berkenaan yang diminta oleh pengguna. Upload file pula bererti pengguna membuka fail data dan menghantarkannya ke sebuah komputer yang lain.

RANGKAIAN KAWASAN LUAS (WAN)
Rangkaian Kawasan Luas (Wide Area Network – WAN) menghubungkan suatu kawasan yang lebih luas dari segi geografinya, contohnya menghubungkan Florida, Amerika Syarikat dengan dunia.

Rangkaian WAN berupaya menghubungkan sekolah-sekolah di Florida dengan tempat-tempat lain di dunia contohnya Tokyo dalam hanya beberapa minit sahaja, tanpa perlu menyediakan sejumlah wang yang besar untuk membayar bil telefon. Namun begitu, rangkaian WAN ini agak rumit dan kompleks. Ia memerlukan pelbagai perkakasan dan perisian sebelum membolehkan rangkaian setempat dan metropolitan berhubung dengan komunikasi secara global dan antarabangsa seperti Internet. Secara lahirnya, rangkaian WAN kelihatan hampir serupa dan tidak banyak bezanya dengan LAN atau MAN.
Rangkaian Kawasan Luas yang tipikal memgabungkan dua atau lebih rangkaian Kawasan Setempat dan biasanya melibatkan suatu kawsan geografi yang luas. Contohnya, satu syarikat yang mempunyai ibu pejabat di suatu tempat, kilang di suatu tempat yang lain dan gabungan pemasaran di suatu kawasan yang agak jauh dari kedua-dua kawasan tersebut.

PROTOKOL
Sesuatu protokol itu adalah satu set peraturan yang mentadbir talian komunikasi di antara beberapa buah komputer yang terdapat pada suatu rangkaian. Peraturan-peraturan tersebut termasuklah garis panduan yang merangkumi beberapa kriteria-kriteria sebuah rangkaian. Ini termasuklah cara mengakses, topologi fizikal yang dibenarkan, jenis-jenis perkabelan, dan kelajuan penghantaran data.

Contoh-contoh protokol yang paling popular digunakan ialah:
1) Ethernet
2) Local Talk
3) Token Ring
4) FDDI
3.1 ETHERNET
Protokol Ethernet merupakan protokol yang paling digunakan dengan meluas. Ethernet menggunakan cara kemasukan (access method) yang dikenali sebagai CSMA/CD (Carrier Sense Multiple Access / Collision Detection).
Ia merupakan suatu sistem di mana setiap komputer menunggu arahan melalui kabel sebelum menghantar mesej melalui rangkaian. Jika rangkaian didapati tidak sibuk, barulah komputer tersebut menyampaikan maklumat atau mesejnya. Jika satu nod lain terlebih dahulu telah menyiarkan mesejnya melalui kabel, komputer tersebut akan menunggu dan akan mencuba sekali lagi apabila laluan membenarkan.
Kadangkala terdapat dua komputer yang kebetulan menghantar mesej pada waktu yang serentak. Apabila kejadian ini berlaku maka akan terjadilah perlanggaran. Kedua-dua komputer tersebut akan berundur buat sementara sebelum menghantar mesej semula. Dengan sistem penghantaran yang sebegini, pelanggaran merupakan sesuatu yang lumrah. Walau bagaimana pun, kelewatan yang terjadi akibat perlanggaran dan penghantaran semula data itu tadi, adalah kecil dan biasanya tidak mempengaruhi kepantasan penghantaran data di dalam rangkaian.
Protokol Ethernet biasanya digunakan untuk topologi linear bas, bintang atau pepohon. Data boleh dihantar menggunakan kabel pasangan berpintal (twisted pair), kabel sipaksi (coaxial) atau kabel fiber optik pada kepantasan 10 Mbps.

ETHERNET PANTAS (FAST ETHERNET)
Bagi mempertingkatkan penghantaran maklumat yang lebih pantas, protokol Ethernet telah membangunkan suatu standard yang menyokong dan membolehkan 100 Mbs. Inilah yang dikenali sebagai Ethernet pantas.Ethernet pantas memerlukan penggunaan concentrator atau hab yang berlainan dan lebih mahal kosnya serta rangkaian kad antaramuka (network interface cards). Sebagai tambahan, kabel 5 pasangan berpintal (twisted pair) ataupun kabel fiber optik jika perlu.

LOCAL TALK
Local Talk merupakan satu protokol rangkaian yang dibangunkan oleh Apple Computer untuk Komputer Macintosh. Cara yang digunakan oleh Local Talk dipanggil CSMA/CA (Carrier Sense Multiple Access dengan Collision Avoidance). Ia hampir sama dengan CSMA/CD kecuali komputer memberi isyarat terlebih dahulu sebelum data hendak dihantar. Adapter bagi Local Talk dan kabel pasangan berpintal yang khas boleh digunakan untuk menghubung satu siri komputer menggunakan port bersiri.Sistem operasi Macintosh membenarkan sitem pengoperasian sesama pelanggan (peer-to-peer) tanpa perlu perisian tambahan. Dengan penambahan versi fail pelayan dari perisian AppleShare, sistem pelanggan-pelayan (client-server) bleh dilaksanakan.
Protokol Local Talk membenarkan topologi linear bas atau topologi pepohon dengan menggunakan kabel pasangan berpintal. Satu kekurangan kecil bagi Local Talk ialah dari segi kepantasan. Kepantasan bagi penghantaran maklumat bagi Local Talk hanyalah 230 Kbps.
TOKEN RING
Protokol Token Ring telah dibangunkan oleh syarikat IBM pada pertengahan tahun 1980-an. Cara kemasukan (access method) menggunakan cara penghantaran maklumat di dalam suatu bulatan.
Di dalam Token Ring, beberapa komputer dihubungkan bagi membolehkan isyarat berlegar di sepanjang talian rangkaian komputer tersebut. Satu token elektronik bergerak mengelilingi bulatan dari satu komputer ke satu komputer dan jika komputer tersebut tidak mempunyai informasi untuk dihantar, ia akan bergerak melepasi komputer tersebut ke stesen kerja yang seterusnya. Jika komputer tersebut hendak menghantar maklumat, ia akan mengisi data atau maklumat kepada token yang datang kepadanya.
Token tersebut kemudiannya bergerak meneruskan perjalanannya sehingga ia sampai kepada komputer di mana data atau maklumat tersebut hendak dihantar. Pada titik ini, data atau maklumat tersebut akan diperolehi oleh komputer yang menerima.
Protokol Gelang Token mengkehendaki topologi Bintang Cecincin (star-wired ring) dengan penggunaan kabel pasangan berpintal (twisted pair) atau kabel fiber optik. Ia berupaya menjalankan operasi pada kepantasan 4 Mbps atau 16 Mpbs. Oleh kerana penggunaan Ethernet yang semakin popular, persekitaran sekolah semakin kurang menggunakan Gelang Token.

FIBER PENGAGIHAN DATA ANTARA MUKA (FDDI)

Fiber Pengagihan Data Antara Muka (Fiber Distributed Data Interface – FDDI)
merupakan satu protokol rangkaian terutamanya untuk menghubungkan dua atau lebih rangkaian kawasan setempat, bagi meliputi kawasan-kawasan yang jauh jaraknya.
Cara kemasukkan (access method) yang digunakan oleh FDDI turut melibatkan penghantaran token. FDDI menggunakan topologi fizikal cecincin berkembar. Penghantaran biasanya terjadi pada salah satu daripada token atau cecincin, namun begitu jika berlakunya kegagalan di dalam rangkaian, sistem tersebut akan menggerakkan informasi secara automatik menggunakan perjalanan rangkaian yang kedua seterusnya membentuk satu rangkaian baru yang lengkap.
Kelebihan yang ketara bagi penggunaan FDDI ialah kepantasan di dalam penghantaran maklumat. Ia beroperasi menggunakan kabel fiber optik pada 100 Mbps.

INTERNET
Internet ialah semua rangkaian komputer di seluruh dunia yang disambungkan dengan rangkaian yang lebih kecil dan bergerak lebih perlahan. Ia mempunyai amat banyak maklumat untuk dicapai oleh sesiapa sahaja, dan ia menyediakan penghantaran maklumat serta-merta ke seluruh dunia. Ini membolehkan manusia di seluruh dunia berkomunikasi di antara satu sama lain dalam masa beberapa minit sahaja.
Oleh sebab Internet semakin bertambah popular, ia akan menjadi sebahagian daripada hidup anda. Pada mulanya, Internet hanya terdapat di dalam sistem pendidikan, perbadanan, kerajaan atau agensi lain, dan sangat mahal serta sukar untuk mendapatkan laluan ke Internet. Pada masa ini, Internet boleh disambung melalui pelbagai kaedah menggunakan khidmat komersil atau Penyedia Khidmat Internet (Internet Service Provider- ISP) yang semakin bertambah bilangannya.
Internet tidak lagi terhad kepada pakar teknikal atau individu yang pandai komputer sahaja. Sesiapa sahaja yang ada laluan komputer boleh menggunakan Internet sebelum dekad ini berakhir. Internet akan terus berubah dan berevolusi.Teknologi baru akan terus muncul dan menyebabkan sesetengah teknologi sekarang menjadi usang. Walaupun Internet berada pada tahap perkembangan awal, inilah masanya untuk meneroka dan menjelajahi maklumat yang begitu banyak yang didapati pada Internet.
Pertumbuhan Internet yang pesat telah mewujudkan cara baru untuk berkomunikasi. Popularitinya dicerminkan oleh pelbagai media yang kita gunakan pada hari ini.
Setiap hari, televisyen, radio dan media cetak mewar-warkan rujukan URL, atau alamat lokasi Internet mereka pada penghujung rancangan masing-masing. Banyak syarikat yang telah melabur masa dan wang mereka pada Internet.
Di antara komponen Internet yang penting ialah Web. World Wide Web telah berkembang menjadi suatu cara baru berkomunikasi dengan jutaan manusia. Di dalam tempoh antara bulan Julai 1995 hingga Januari 1996, bilangan komputer yang tersambung secara langsung kepada rangkaian fizikal Internet, yang juga dikenali sebagai hos, telah meningkat sekurang-kurangnya 70%.
Pertumbuhan Internet yang mendadak boleh dikatakan akibat daripada perkembangan penyemak seimbas (browser) Web bergrafik yang begitu pantas. Komponen grafik Web telah mewujudkan suatu media baru kepada banyak syarikat untuk mengiklankan produk mereka dan untuk berkomunikasi dengan pelanggan mereka.
Walaupun Web merupakan komponen Internet yang penting, namun begitu ada juga bahagian-bahagian lain Internet yang dapat membawa anda kepada penemuan yang menarik. Di antaranya ialah tapak Gopher dan FTP. Sistem pacuan menu tapak Gopher mengandungi teks dan maklumat lain. Pelayan FTP juga membolehkan anda memuat turun (download) fail teks dan juga fail audio serta video. Dengan pelayan FTP, fail dari sistem yang jauh boleh dipindahkan ke komputer pengguna.
Mel elektronik, atau mel-e merupakan satu lagi alat penting yang boleh digunakan. Mel-e menyediakan cara pantas untuk berhubung dengan orang lain dalam jabatan yang sama mahupun di seluruh dunia. Berbanding dengan kiriman surat melalui perkhidmatan pos yang mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu, mesej mel-e dapat disampaikan di dalam beberapa minit sahaja.
Sama seperti mel-e, kumpulan berita merupakan satu lagi cara berkomunikasi dengan orang lain. Kumpulan berita ialah forum perbincangan dalam Usenet, tempat pengguna bertukar-tukar fikiran tentang tajuk yang khusus. Menghantar mesej kepada kumpulan berita sama seperti menghantar mesej kepada semua orang dalam suatu senarai mel yang besar.
Kebanyakan alat Internet ini dapat dimasuki melalui penyemak seimbas Web seperti Netscape Navigator atau Internet Explorer. Tapak Web, Gopher dan FTP boleh menukar malahan membina rangkaian yang terputus. Oleh kerana sifat Internet yang sentiasa berkembang, pengalaman Internet pengguna akan berubah setiap kali pengguna menggunakan penyemak seimbas Web.


RUJUKAN
http://www.angelfire.com/bug/rangkaian0/index.html
http://www.angelfire.com/bug/rangkaian0/perkakasan_rangkaian.htm
http://www.angelfire.com/bug/rangkaian0/jenis_rangkaian.htm
http://www.angelfire.com/bug/rangkaian0/topologi.htm
http://www.angelfire.com/bug/rangkaian0/bintang.htm
http://www.angelfire.com/bug/rangkaian0/cincin.htm
http://www.angelfire.com/bug/rangkaian0/bas.htm